Izinkan aku menjual sedikit kata-kata tentang hidup.tentang rasa.tentang jiwa.semoga

Saturday, June 15, 2013

TUHAN DAN SEDIKIT IMPIAN



Manusia ialah individu bernyawa yang mempunyai akal untuk menentukan jalan hidupnya. Pilihan yang manusia itu buat akan menentukan jalan hidupnya. Manusia akan hidup di dalam pilihannya. Terlalu awal untuk seorang remaja bernama Amir faham apa erti sebenar kehidupan. Di usia 11 tahun Amir terpaksa melalui kehidupan tanpa kasih seorang bapa. Bapanya telah meninggalkannya ketika dia berumur 5 tahun, ketika itu Amir hanya tahu dia akan hidup bersama ibunya sahaja. Amir hidup di dalam kehidupan  yang sederhana, tidak  mewah tetapi sekadar cukup apa adanya. Sungguhpun masih muda, tetapi kehidupan yang tidak mewah ini telah mematangkan Amir dari serba serbi aspek kehidupan. Tentang dirinya yang dapat menilai sesuatu perkara yang tidak dapat dilihat oleh kawan-kawan sebayanya. Mungkin ibunya yang mendidik dan mendedahkan Amir dengan perkara-perkara tentang kehidupan yang mungkin terlalu awal bagi Amir. Ibunya mengajar tentang erti sebenar kegembiraan, tentang nilai manusia itu bukan pada luarannya dan hartanya. Keperitan hidup Amir yang membesar tanpa seorang ayah menjadikan dirinya faham perkara yang begitu mendalam. Sungguhpun Amir tahu ibunya mendedahkan perkara-perkara tentang kerana dia ialah anak tunggal, ibunya mahu dirinya membesar dengan pemikiran yang matang disamping dapat menilai aspek-aspek kehidupan dengan baik.
            Pada suatu malam selepas Amir mengaji Al-Quran bersama ibunya, dia bertanya kepada ibunya dengan nada yang perlahan
“Ibu, kenapa tuhan mengambil nyawa ayah?  Amir hari-hari mengaji dan solat tetapi kenapa tuhan masih nak ambil nyawa ayah?”
Ibu Amir terkejut mendengar pertanyaan Amir. Dia menghela nafas yang panjang dan memandang ke wajah Amir lalu berkata dengan nada yang lembut
“Amir, tuhan jadikan sesuatu perkara pasti ada sebabnya. Mungkin tuhan lebih sayangkan ayah”
“Tetapi ibu, kalau tuhan sayangkan ayah kenapa tuhan ambil nyawa ayah?”
“Amir itu semua takdir tuhan. Jodoh, pertemuan dan ajal itu di tangan tuhan. Sekiranya berlaku sesuatu perkara, di situ tuhan mahu melihat sejauh keimanan kita. Sejauh mana kita mampu berfikir tentang kebesaran dia yang mengatur semua perkara. Amir jangan sedih, suatu masa nanti ibu pasti Amir akan faham semua ini. Bukan hak kita untuk bertanyakan tentang kerja yang maha Esa. Kita sebagai hamba haruslah sentiasa taat dan redha” .
            Selepas mendengar jawapan ibunya, Amir terdiam seketika. Di dalam fikirannya bermain beribu persoalan yang baginya terlalu berat untuk difikirkan. Ibunya mengusap dahi Amir lalu berkata,
“Tidak mengapa Amir, normal bagi kamu untuk bertanya soalan yang begini. Ibu faham perit kamu membesar tanpa seorang ayah. Jangan ambil peduli tentang dunia sekeliling yang mebuatkan kamu sedih hidup tidak punya ayah kerana bukan mereka yang rasa segala kamu punya derita”
            Kata-kata itulah yang sering dikatakan oleh ibunya “jangan peduli dunia kerana   bukan mereka yang rasa”. Ibunya sering mengingatkan Amir “kunci kehidupan ialah kegembiraan, kunci hidupan ialah kegembiraan”. Malam itu Amir merasakan hidup seperti tidak pernah adil kepadanya tetapi mujur dia punya ibu yang selalu menyematkan pedoman yang tinggi kepada jiwanya. Kata-kata ibunya menjadikannya dirinya terus gagah untuk menempuh kehidupan. Ibu Amir tidak pernah menyalahkan Amir yang selalu timbul dengan persoalan hidup. Baginya bila anaknya ada persoalan maka dia mula belajar untuk memahami kehidupan. Setiap persoalan Amir tentang kehidupan akan dijawabnya dengan sabar supaya kelak Amir boleh membesar menjadi seorang manusia yang matang.
            Amir masih lagi bingung untuk mencantum persoalan dan jawapan yang  diterimanya cukuplah sekadar dia tahu tuhan itu maha berkuasa. Setiap yang tuhan tentukan untuk manusia sudah tercatat di luh mahfudz. Amir sungguhpun terlalu muda tetapi mindanya telah diasuh dengan perkara-perkara yang mendalam. Bila wujud persoalan di dalam dirinya dia akan mencari cantuman jawapannya. Kenapa, mengapa, bagaimana, tanda tanya sebegitu akan selalu hadir di dalam pemikirannya. Manusia itu punya pilihan untuk menentukan hidupnya dan manusia itu yang membuat pilihan untuk dirinya sendiri. Amir memilih untuk menjadikan hidupnya sebagai persoalan.
            Pernah suatu ketika dahulu Amir menghadapi masa yang sukar di dalam hidupnya kerana ibunya hilang pekerjaaan. Syarikat di mana ibunya bekerja telah jatuh bankrup. Ibunya hilang mata pencarian dan mereka berdua hidup di dalam keadaan yang terlalu susah ketika itu. Keadaan hidup mereka ketika itulah menjadi titik mula bagi Amir supaya belajar untuk bersabar dengan kehidupan. Beberapa bulan kemudian ibunya mendapat pekerjaan baharu, walaupun gajinya sangat sedikit jika dibandingkan gaji lamanya tetapi cukuplah sekadar untuk hidup berdua bersama anaknya Amir. Kesusahan hidupnya tidak menjadi alasan baginya untuk terus membesarkan Amir dengan keimanan, kematangan dan menjadi insan yang sentiasa rasional dengan segala alasan kehidupan.
“Amir sudahlah termenung tu, pergi tidur selepas ini. Esok nak bangun awal untuk pergi sekolah”
            Amir bingkas bangun dari sejadahnya dan meletakkan Al-Quran ke dalam rak di ruang tamu rumahnya. Dia menuju ke dalam biliknya dan melelapkan matanya.
            Langit pagi itu jingga kekuningan warnanya, Amir mengatur langkahnya menuju ke sekolah. Tiada basikal, tiada van, mahupun bas sekolah untuknya pergi ke sekolah. Dia hanya mampu berjalan kaki ke sekolah. Jarak lima kilometer harus dijalaninya untuk dia sampai ke sekolah. Walaupun penat, Amir tetap mengagahkan kakinya untuk terus sampai ke sekolah. Belum dikira bajunya yang basah dengan peluh seperti mandi apabila dia sampai di sekolah. Tetapi itu semua tidak pernah melemahkan semangat Amir untuk pergi ke sekolah. Dia gembira dan bersyukur kerana dia masih boleh pergi ke sekolah, dia tahu ada insan yang tidak berpeluang untuk merasa apa itu pendidikan. Dia merasakan dirinya cukup bertuah kerana dia boleh pergi ke sekolah.
            Amir punya impian, impian kecil untuk menjadikan kehidupan keluarganya lebih gembira daripada sekarang. Amir tahu hanya dengan pendidikan dia boleh menjadikan impian dia boleh dilakar menjadi realiti. Dugaan, cabaran, ujian sudah ditanam di dalam fikirannya sebagai suatu perkara yang akan dihadapinya. Kadang-kala , Amir tidak mampu menahan perit dan sakit tetapi dia tahu dia harus menggagahkan dirinya supaya hidup tidak menekan dirinya sehingga dia menyalahkan takdir.
            Langakah terus diatur oleh Amir, peluh yang tidak berhenti menitis membuatkan Amir sedikit tercungap-cungap tetapi dengan semangat yang pada dirinya langkah itu terus diatur dengan sabar. Burung-burung berkicauan seolah-olah sentiasa menemani Amir setiap kali perjalanannya ke sekolah. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa ketika Amir berjalan ke sekolah. Tiba-tiba datang satu suara daripada arah belakang Amir,
“Oi Amir! Nak tumpang tak?”
Amir menoleh ke belakang dan dia tersenyum melihat kawan karibnya, Hasan. Dengan nada yang gembira Amir menjawab,
“Mestilah nak, rezeki jangan ditolak. Hahaha”
Hasan menuju ke arah Amir lalu membonceng Amir menaiki basikalnya. Amir tersenyum dan berbisik di dalam hati,
“Alhamdulillah tuhan mendengar”
Selepas sesi perhimpunan, pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Damai menuju ke kelas untuk memulakan sesi persekolahan. Amir melangkah masuk ke dalam kelasnya iaitu kelas 5 Perdana dan menuju ke tempat duduknya. Sementara menunggu cikgu masuk ke dalam kelas, Amir bertanya khabar kepada rakan sekelasnya. Sesi pembelajaran pada pagi itu dimulakan dengan subjek bahasa Melayu. Subjek itu diajar oleh seorang cikgu yang berasal daripada Kuala Lumpur namanya Cikgu Ringo. Cikgu Ringo menuju ke papan hitam dan menulis perkataan yang berbunyi “IMPIAN”.
“Baiklah kelas hari ini cikgu mahu tahu apa impian kamu. Impian ialah apa yang kamu mahu di dalam hidup kamu. Sesuatu kamu capai dan dapat dalam hidup kamu. Cikgu mahu mahu tulis di dalam kertas apa impian kamu kemudian cikgu mahu kamu pergi ke hadapan dan beritahu kepada cikgu dan kawan sekelas apa impian kamu. Sekiranya tiada apa-apa kamu boleh bermula sekarang. Fikirkan apa impian kamu”
Amir mengeluarkan kertas daripada begnya. Dia mula berfikir apakah impiannya. Walaupun soalan itu kedengaran mudah tetapi tiba-tiba dia merasakan soalan itu menjadi susah bagi dirinya. Dia seperti menemui jalan buntu untuk menulis apakah impian. Pensilnya masih tidak bergerak tetapi fikirannya mula memainkan bermacam-macam persoalan.
“Apa impian aku?”
“Bagaimana aku nak tahu apa yang aku mahu itu ialah impian aku?”
            Tiba-tiba Amir mula teringat kata-kata ibunya tentang kehidupan. Erti kehidupan seharusnya gembira. Apa yang harus dicapai haruslah sesuatu yang menggembirakan diri kita. Bukan kemewahan itu impian tetapi bagaimana kita faham apa itu hidup dan hidup itu ialah tentang kegembiraan yang sebenar. Bila kita faham sebenar-sebenar kehidupan kita akan tahu apa itu impian. Seperti kita mahu kehidupan sentiasa berpihak kepada diri kita tetapi bila situasi berpaling tadah dari kemahuan kita, kita mengeluh. Sekiranya kita faham tentang impian yang sebenar, keluhan itu akan menjadikan diri kita lebih kuat untuk mencapai impian kita. Semoga.
            Amir tersenyum bila dia mengingati kembali kata-kata ibunya. Tangannya mula menggerakkan pensil di kertas. Dia menulis sebuah perkataan yang menggambarkan impiannya dan itulah yang dia mahu di dalam kehidupannya. Amir meletakkan pensilnya dan tersenyum melihat jawapan yang telah ditulisnya. Dia tahu itulah yang mahu dicapainya dan dia tahu itulah kunci segala impiannya.
            Cikgu Ringo memberikan arahan masa sudah tamat dan sudah sampai masa untuk ke hadapan dan memberitahu apakah impian yang telah ditulis. Rata-rata kawan sekelas Amir menulis mereka mahu memiliki kereta mewah, rumah yang besar, harta yang banyak dan wang yang berjuta. Ada juga di antara mereka menulis untuk menjadi doktor, polis, askar dan  produk masyarakat yang tipikal. Bagi Amir yang ditulis mereka itu bukanlah impian tetapi itu ialah kehendak yang dipengaruhi oleh persekitaran mereka. Cikgu Ringo menunjuk ke arah Amir.
“sekarang giliran kamu terangkan di hadapan apakah impian kamu”
            Amir mengangkat kertasnya dan menunjukkan kepada rakan sekelasnya. Di kertasnya tertulis perkataan “KEGEMBIRAAN”. Seluruh rakan kelasnya ketawa melihat impian Amir. Cikgu Ringo bertanya kepada Amir
“Ini impian kamu Amir?”
Dengan tenang Amir menjawab,
“ Ya inilah impian saya cikgu. Kegembiraan ialah impian saya cikgu. Sayu mahu mencapai sebenar-benar kegembiraan. Bukan harta yang melimpah ialah impian saya cikgu, bukan kerjaya yang gemilang itu impian saya cikgu, tetapi kegembiraan. Hendak mencapai impian ini bukan mudah tetapi saya tahu kegembiraan akan menjawab segala persoalan dalam hidup saya.”
            Seluruh kelas termasuk Cikgu Ringo terdiam mendengar jawapan yang diberi oleh Amir. Rata-rata tidak memahami apa yang dicakap oleh Amir kerana terlalu mendalam jawapan yang diberikan oleh Amir. Mereka seolah-olah menganggap apa yang dicakap oleh Amir itu hanyalah alasan untuknya mengelak memberi jawapan. Cikgu Ringo masih terdiam memikirkan jawapan yang diberi oleh Amir. Dia begitu terkejut kerana Amir memberikan jawapan yang terlalu mendalam, dalam pada usianya yang terlalu muda.Cikgu Ringo keliru bagaimana Amir mencantumkan segala ayat itu kerana dirinya tidak memikirkan jawapan yang sedemikian rupa. Tiba-tiba seorang murid bersuara dengan nada mengejek,
“Oi Amir kau tak faham soalan ke apa?”
Seluruh kelas bergelak mendengar pertanyaan yang penuh nada yang memerli itu. Mereka juga memikirkan perkara yang sama. Bagi mereka, Amir tidak memahami soalan yang diberi oleh Cikgu Ringo. Amir tersenyum mendengar soalan yang mengejek dirinya. Amir tersenyum lagi dan menjawab
“Saya mungkin tidak faham soalan ini tetapi kamu semua tidak faham apa itu kehidupan”
Cikgu Ringo menuju kehadapan kelas. Di dalam fikirannya masih lagi bermain dengan jawapan yang diberi oleh Amir.
“Baiklah Amir kamu boleh duduk. Kelas saya mahu kamu tulis esei berdasarkan impian yang kamu pilih sebentar tadi. Itu ialah tugasan kamu. Siapakan dan hantar pada hari Rabu depan. Faham kelas?”
“Faham cikgu!”
Selepas itu sesi rehat bermula. Selalunya apabila tiba waktu rehat Amir akan duduk di belakang blok kelasnya. Dia duduk bersendirian dan membaca buku, sementara menunggu waktu rehat tamat. Semasa dia sedang duduk membaca buku Amir disapa dengan suara yang keras. Suara itu datang dari Taufik, kawan sekelas yang mengejeknya semasa kelas Cikgu Ringo sebentar tadi. Taufik menghampiri Amir bersama beberapa orang rakannya.
“Woi Amir! Kau berlagak pula ya tadi. Kau mengarut apa tadi” Kelakar la jawapan kau bagi. Orang miskin macam kau ni memang layaknya bagi jawapan yang miskin mcam tu juga kot. Hahaha. Dahlah jom kawan-kawan kita pergi kantin, tinggalkan budak miskin ni kat sini.”
Air mata terus mengalir apabila Taufik dan rakan-rakannya berlalu pergi. Terlalu berat kata-kata Taufik itu untuk dirinnya. Kenapa perlu dihina dirinya dengan penghinaan sedemikian rupa. Dirinya juga manusia seperti mereka. Apa salah dirinya kepada mereka. Apa dosa dirinya kepada diri mereka. Amir tidak dapat mengawal air matanya, seolah-olah air mata itu tidak mahu berhenti mengalir. Amir tidak dapat menerima dirinya dihina tetapi yang paling sedih buat diri Amir kenapa perlu dipersoalkan apa yang dia mahu dalam hidupnya. Persoalan yang terlalu berat buat diri Amir dan membuatkan diri Amir seolah-olah tidak mempunyai harga diri.
            Tanpa disedari, kejadian itu diperhatikan oleh Cikgu Ringo. Kebetulan cikgu Ringo berjalan di situ dan dia mendengar semua penghinaan yang dicampak kepada Amir. Cikgu Ringo menuju ke arah Amir lalu duduk di sebelah Amir. Kehadiran Cikgu Ringo membuatkan Amir terkejut. Cikgu Ringo tersenyum kepada Amir.
“Cikgu nampak dan dengar apa yang terjadi. Bersabarlah Amir. Ini ialah harga yang kamu perlu bayar untuk mencapai impian kamu. Cikgu sebenarnya kagum dengan kamu Amir kerana pemikiran kamu ini jauh merentasi usia kamu. Cikgu terkejut kerana tidak menyangka walaupun kamu tinggal di kawasan kampung pendalaman seperti ini tetapi pemikiran kamu membayangi pemikiran kelas pertama.”
“Ibu saya yang menyemai saya supaya boleh berfikir dengan lebih mendalam tentang semua aspek kehidupan, kata Amir” sambil mengesat air matanya.
“Kamu mempunyai seorang ibu yang baik Amir. Janganlah bersedih Amir. Biar cikgu beritahu kamu sesuatu. Tengok langit di atas sana. Langit tidak selalunya cerah Amir kadangkala langit akan hitam gelap dan hujan. Langit kadang kala ribut taufan. Kamu andaikan kehidupan kamu seperti langit. Masalah kamu andaikan seperti hujan dan ribut. Kamu kena ingat itulah yang kamu akan hadapi Amir kerana itulah kehidupan.”
Amir memandang ke arah langit. Langit yang terbentang luas itu diamati oleh Amir. Kemudian kata-kata Cikgu Ringo mula bermain di fikiran Amir. Segala masalah Amir dicantum dengan kata-kata yang diberikan oleh Cikgu Ringo. Amir mula mendapat gambaran apa yang diperkatakan oleh Cikgu Ringo. Dia tersenyum kerana benar belaka apa yang diperkatakan oleh Cikgu Ringo. Benar hidup itu ada liku-likunya, benar hidup itu ada warna-warninya kerana itulah hari-hari mendatang harus ditempuh oleh Amir dengan kesabaran.
“Kamu beritahu cikgu yang kamu mahukan kegembiraaan bukan?, Kamu kena ingat Amir hendak mencapai sesuatu itu pasti ada harganya. Kalau sesuatu impian itu mudah dicapai bukan impian namanya. Kita kena bersedia untuk terima sebarang kemungkinan. Kita tidak kira berapa besar harga yang perlu kita bayar untuk mencapai impian kita. Amir lihat langit lagi, ingat setelah hujan, ribut, petir dan taufan akan muncul pelangi. Pelangi itulah kegembiraan yang kamu mahukan Tetapi sediakan diri kamu untuk menempuh semua cabaran dan halangan itu. Kuatkan hati, kuatkan diri dan yang paling penting sentiasa percaya dengan diri kamu Amir”
Amir tersenyum mendengar kata-kata Cikgu Ringo. Amir menoleh ke arah cikgu Ringo dan bertanya
“Cikgu, adakah orang miskin seperti saya ini tiada nilai?”
Mendengar persoalan itu Cikgu Ringgo mengeluarkan not seringgit daripada kocek seluarnya. Dia bertanya kepada Amir,
“Amir kamu mahu tidak duit ini?”
Amir mengangguk tanda dia mahu,
Cikgu Ringgo menggumpal not seringgit itu dan bertanya kepada Amir
“Amir, kamu mahu tidak duit ini?”
Amir mengangguk tanda dia mahu
Cikgu Ringgo berdiri lalu seringgit itu dipijak oleh cikgu Ringgo lalu cikgu Ringgo bertanya kepada Amir
“Amir, kamu masih mahu duit ini?”
Amir mengangguk tanda dia mahukan duit tersebut
Cikgu Ringgo kembali duduk di sebelah Amir dan memandang Amir
“Kamu lihat Amir, cikgu dah pijak duit itu tetapi kamu masih mahukan duit ini. Kerana apa Amir? Kerana kamu tahu akan nilainya. Begitu jugalah dengan manusia Amir. Sekotor mana dia, sejijik mana dia, serendah mana dia, nilai tetapi ada pada dirinya. Jangan pernah kita cakap orang tidak ada nilai. Setiap manusia yang hidup ada nilai mereka Amir. Cikgu tahu kamu sedih kerana dihina tetapi Amir percayalah dengan cikgu suatu hari apabila sudah muncul pelangi itu, kamu akan tersenyum gembira kerana pengorbanan kamu untuk mencapai impian kamu itu terlalu tinggi Amir.”
“Terima kasih cikgu, Saya akan ingat kata-kata cikgu itu sampai bila-bila. Sekarang saya lebih faham kerana untuk berimpian itu ialah hak semua orang tidak kira siapa pun dia. Cikgu, saya janji dengan diri saya sendiri yang saya akan lebih tabah menghadapai segala rintangan dan cabaran. Terima kasih sekali lagi cikgu”
“Sama-sama Amir. Ingat percaya diri sendiri itu penting. Dah. Pergi masuk kelas, sebentar lagi loceng hendak berbunyi.”
Pada waktu malam selepas mengaji Amir terus menceritakan apa yang terjadi kepadanya di sekolah hari ini. Amir menceritakan satu persatu apa yang berlaku kepada dirinya. Ibu Amir mendengar dengan teliti apa yang diceritakan oleh Amir. Setelah habis menceritakan apa yang berlaku Amir terus bertanya kepada ibunya,
“Ibu, kenapa hidup tidak pernah adil kepada diri kita?”
Ibu Amir tersenyum mendengar soalan daripada Amir.
“Amir, biar ibu beritahu sesuatu kepada Amir. Dalam dunia perkataan bernama “ADIL” tidak pernah wujud. Keadilan itu tidak pernah ada dalam hidup kita kerana sekiranya dunia ini adil keseimbangan itu akan musnah. Tiada orang miskin dan tiada orang yang akan susah. Kerana hendak adil semua akan senang. Kerana itu tuhan menyuruh kita berpegang kepada iman. Kerana apabila kita susah iman itulah yang akan menjawab segala persoalan kesusahan kita. Bila kita susah kita akan lebih dekat dengan tuhan jadi jangan salahkan kesusahan. Dunia ini memang tempat yang tidak adil kerana tuhan hendak menguji kita Amir.”
            Jawapan yang diterima oleh Amir itu membuatkan dia terbang jauh di dalam pemikirannya. Amir sekali tertampar dengan jawapan yang diberi oleh ibunya. Maka fahamlah dia kesusahan yang datang harus diterima dengan redha. Amir terdiam seperti selalu setelah mendapat jawapan kerana di situ dia akan mula menyusun segala cantuman jawapan yang diterima. Kadang kala sukar bagi dirinya untuk mencantum tetapi itu bukan masalah bagi dirinya. Peristiwa yang berlaku pada dirinya hari ini membuatkan dia lebih kuat untuk melangkah pada hari esok.
            Ibu Amir tersenyum melihat Amir yang seolah-olah keliru tetapi dia tahu anaknya sedang cuba mewujudkan ruang baru dalam pemikirannya. Sebagai seorang ibu dia mahu Amir melihat dirinya sebagai seorang yang boleh bersama di dalam pemikirannya. Dia mahu anaknya sentiasa percaya yang apa yang berlaku itu akan membawa kebaikan kepada dirinya dan paling cara dia menerimanya. Pada suatu tahap nanti mungkin anaknya akan mampu berlari sendiri dan melompat tinggi untuk mencapai apa yang dia mahukan dalam kehidupannya. Ibu Amir berkata lagi kepada Amir.
“Amir teruskanlah hidup kamu dengan apa yang kamu ada. Sekarang apa yang kamu bawa bersama kamu untuk menempuh hidup?”
Amir menjawab,

“Tuhan dan sedikit impian”
TERIMA KASIH KERANA LIKE.SETIAP LIKE MEMBUATKAN AKU TERHARU

No comments:

Post a Comment